Entah mengapa sehingga lebih lima puluh tahun merdeka, istilah bahasa Melayu masih dipolemikkan sejak dahulu sehingga kini dengan nama “bahasa Malaysia”.  Bagi sesetengah orang perkara ini kecil dan remeh. Tidak perlu diperbesar.  Malangnya jika betul remeh dan kecil sahaja hal ini, makanya tak perlulah kita “bersusah payah” dan beria-ria untuk menegakkan penggunaan istilah “bahasa Malaysia” yang sebenarnya tidak betul dan lain maksudnya.  Misalnya mengapa kita tidak sebut begini yang pastinya lucu “memartabatkan bahasa Malaysia (nama negara), memperkukuh bahasa England (juga nama negara). Orang berbangsa Amerika, Australia, New Zealand dan lain-lain tidak pun mengambil kisah untuk menukar bahasa “English” tersebut kepada nama bahasa Amerika, Australia, New Zealand, India, Korea, Jepun atau Filipina.   Walau di ceruk mana sekalipun itulah sahaja namanya, Inggeris atau English.  Begitu juga halnya dengan orang di utara England atau Scotland yang sekalipun kedengaran juga berasa kurang selesa dengan orang Inggeris di England.  Martabat bahasa Melayu sepatutnya dijaga daripada sekecil-kecil perkara termasuk nama, sehinggalah kepada hal yang lebih besar berkaitan dengan pengisiannya, pembakuan sebutan, tatabahasa, istilah dan laras bidang ilmu.  Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 merupakan punca kuasa utama usaha memperkasa bahasa Melayu di Malaysia. Apabila bahasa Melayu diisytiharkan dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu (atau kemudiannya Malaysia) itu bererti bahasa Melayu sudah berubah taraf dan fungsi sebagai “bahasa kebangsaan BANGSA Melayu” kepada bahasa kebangsaan NEGARA Malaysia. Peranan atau fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara merentas sempadan dan kepentingan etnik; fungsinya ialah sebagai alat pembangunan negara, bukan semata-semata sebagai alat pembangunan dan kepentingan bangsa Melayu sahaja. Fungsinya juga tidak hanya bersifat simbolik atau sebagai alat perpaduan kaum sahaja tetapi bersifat instrumental atau “functional”, pragmatik dan“developmental” (Razaleigh Hamzah, 2007:11). Bermula daripada nama bahasa yang sah lagi sahih iaitu bahasa Melayu maka sebagai asas dan dasar, nama tersebut juga perlu diperkasakan dan digunakan di samping hal-hal lain. Bahasa Melayu diabsahkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia. Bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sebenarnya bukan nama gantian bagi bahasa Melayu tetapi taraf dan peranan yang diberi kepada bahasa Melayu. Contoh mudahnya katakanlah ada seorang individu yang namanya Ali.  Beliau berjawatan sebagai Pengurus Besar sebuah syarikat.  Ali itu namanya dan Pengurus Besar itu jawatan atau peranannya walaupun memanglah Ali dan Pengurus Besar itu orang yang sama.  Justeru bahasa Melayu itu namanya dan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan itu peranan atau taraf yang diberi kepada bahasa Melayu di negara ini.  Istilah kebangsaan bukan berkaitan dengan semangat nasionalisme Melayu sahaja tetapi berkaitan dengan kepentingan dan perpaduan negara. Justeru bahasa Melayu wajib digunakan dalam setiap majlis atau acara rasmi seperti mesyuarat, taklimat, kursus, segala urusan bertulis atau surat-menyurat (khususnya dalam negara), hebahan atau pengumuman rasmi seperti iklan jawatan dan seumpamanya melalui media elektronik dan media cetak, pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan peringkat rendah, menengah (Tingkatan Enam dan Matrikulasi) dan pengajian tinggi.
Nama bahasa Melayu
Merujuk negara kita yang majmuk ini, secara dasarnya tidak ada sesiapapun yang berhak untuk membenci mana-mana bahasa pun yang dituturkan di negara ini. Misalnya, kita sebagai rakyat satu Malaysia khasnya tidak berhak membenci bahasa Mandarin kerana namanya bahasa Mandarin atau kerana bahasa Mandarin itu dituturkan oleh bangsa Tionghua atau Cina.   Kita juga tidak berhak membenci bahasa Tamil kerana namanya bahasa Tamil atau kerana bahasa Tamil dituturkan oleh bangsa India dan kita tidak boleh membenci bahasa Inggeris kerana namanya Inggeris atau English atau kerana orang Inggeris pernah menjajah kita. Seterusnya rakyat Malaysia tidak berhak membenci bahasa Melayu kerana namanya bahasa Melayu atau kerana penutur jati bahasa Melayu berbangsa Melayu. Tentunya tidak waras jika kita meminta bahasa Mandarin atau Tamil ditukar namanya barulah kita tidak membenci atau akan berminat untuk mempelajari bahasa tersebut.  Begitu juga tidak waras untuk kita membenci bahasa Melayu yang telah termaktub sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini. Kita perlu sedar akan konsep menuntut ilmu yang banyak adalah baik dan meningkatkan taraf atau darjat kita termasuk jika kita belajar bahasa yang banyak (bahasa apa pun) dan bukan sebaliknya. Justeru tidak waras dan tidak munasabah sama sekali, bahasa Melayu perlu “ditukar” kepada nama lain atau disebut dengan nama lain dengan harapan setelah bertukar nama barulah tidak dibenci, disayangi, dipelajari dan digunakan serta dapat menjadi bahasa perpaduan semua bangsa di Malaysia.   Kita tidak harus emosional dan perlu bersikap profesional dalam hal ini dan menerima hakikat sesuatu itu berlandaskan ilmu dan kebenaran.  Dengan sikap tersebut dan keterbukaan akan membantu kita ke arah menjiwai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia yang juga turut menjadi bahasa pengucapan kelima terbesar di dunia.  (disesuaikan daripada kertas kerja yang dibentang semasa Konvensyen Munsyi Dewan (DBP) “ Memperkasa Bahasa Melayu di Sektor Swasta: Satu Tinjauan Selepas 50 Tahun Merdeka”, pada 18-21 April 2008 di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur)


Kesan terhadap Bahasa Melayu jika hilang status Bahasa Ibunda

Kukuhnya bahasa Melayu di Singapura selama ini bergantung kepada dasar-dasar pemerintah yang terus menyokong bahasa ibunda sebagai usaha untuk memupuk nilai-nilai tradisional dan jati diri orang Melayu Singapura. Selagi bahasa Melayu diajar di sekolah, nescaya bahasa Melayu tidak akan pupus di Singapura. Ini adalah kerana penggalakkan dan penggunaan bahasa Melayu masih terus diusahakan secara sistematik. Kukuhnya bahasa melayu di Singapura juga disebabkan ada pihak berkuasa yang memantau kualiti penguasaan bahasa Melayu di Singapura. Memandangkan bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa rasmi di Singapura, pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahasa Melayu tidak akan terpinggir. Salah satu contoh sokongan daripada pemerintah ialah penubuhan Jawatankuasa Pembelanjaan dan Pengalakkan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) pada tahun 2006. Jawatankuasa ini telah banyak menyokong kegiatan bahasa Melayu yang dianjurkan oleh badan-badan mahasiswa dari segi dana dan motivasi. Oleh itu, memang sukar untuk menafikan bahawa dasar-dasar pemerintah terhadap bahasa ibunda memainkan peranan dalam membina jati diri orang Melayu di Singapura.
Namun begitu, kehilangan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ibunda sudah tentu membawa padah kepada masa depan Bahasa Melayu yang sekian lama bergantung kepada jasa baik pemerintah. Jika bahasa Melayu diiktirafkan sebagai bahasa asing, bahasa Melayu tidak akan manfaat sama rata dengan bahasa ibunda yang lain seperti Bahasa Mandarin dan Tamil. Malah, mungkin Bahasa Melayu tidak lagi menjadi mata pelajaran wajib untuk pelajar Melayu memandangkan Bahasa Melayu sudah tidak lagi terikat oleh dasar-dasar pemerintah mengenai Bahasa Ibunda.
Apa yang akan menjadi cabaran kepada masyarakat Melayu ialah bagaimana cara untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu sekiranya pada suatu hari bahasa Melayu tidak lagi diajar di sekolah dan lebih malang lagi ialah kehilangan status bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan. Cabaran ini mungkin belum lagi dihadapi oleh masyarakat Melayu di Singapura memandangkan bahasa melayu masih lagi diajar di sekolah. Namun begitu, masyarakat melayu harus mengambil contoh Melayu di Sri Lanka. Walaupun mereka merupakan kaum minoriti, mereka tetap usaha gigih untuk mengekalkan identiti mereka sebagai bangsa Melayu. Sama ada Bahasa Melayu akan diajar sebagai bahasa asing di sekolah atau Bahasa Melayu kehilangan status sebagai bahasa kebangsaan di Singapura sekali pun, saya yakin bahawa Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa ibunda di dalam hati setiap orang Melayu di Singapura. Masyarakat melayu akan terus berusaha untuk melestarikan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu adalah milik masyarakat melayu.