Contoh Karangan

Contoh Karangan 1: Syarahan


Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar.



Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar".

Hadirin sekalian,

Antara langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan alam sekitar yang telah diperuntukkan. Pihak berkuasa mestilah mengenakan tindakan yang tegas dan berat terhadap pencemar alam sekitar supaya mereka serik untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Selain itu, kempen penjagaan alam sekitar haruslah dipergiatkan. Kempen ini boleh disiarkan melalui media massa seperti surat khabar, televisyen dan radio. Kempen-kempen ini akan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar. 

Hadirin sekalian,

Masyarakat mestilah diberikan kesedaran secara berterusan akan tanggungjawab menjaga alam sekitar. Aktiviti seperti ceramah dan gotong-royong dapat membantu orang ramai menjadi lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Di samping itu, masyarakat juga perlulah bersikap perihatin dan bertanggungjawab. Jika mendapati ada pihak yang mencemarkan alam sekitar, mereka perlulah melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Hadirin sekalian,

Tanggunjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. Alam sekitar yang terpelihara atau dijaga dengan baik akan menjadikan hidup kita lebih selesa dan sihat.

Sekian, terima kasih.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Contoh Karangan 2: Gambar Tunggal

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda berdasarkan gambar tersebut. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.

PENCEMERAN

Pencemaran alam sekitar sudah menjadi lumrah di negara-negara maju. Pencemaran seolah-olah tidak dapat dielakkan jika terdapat sebarang aktiviti pembangunan di sesuatu tempat. Pencemaran boleh diklasifikasikan kepada beberapa beberapa keadaan seperti pencemaran udara, iklim, tanah dan air.
     Pencemaran boleh memudaratkan kesihatan manusia. Pencemaran udara menyebabkan manusia bernafas dalam udara yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berbahaya seperti asma. Pencemaran iklim pula mengakibatkan penipisan lapisan ozon di atmosfera dan mewujudkan kesan rumah kaca. Penipisan lapisan ozon menyebabkan cahaya ultra ungu matahari yang berbahaya kepada kulit manusia menembusi atmosfera. Kesan rumah kaca pula mengakibatkan suhu bumi meningkat sehingga boleh mencairkan ketulan air batu di kutub utara atau selatan. Akibatnya paras air laut akan meningkat.
      Pencemaran juga boleh mengakibatkan hakisan dan tanah runtuh. Pencemaran tanah disebabkan oleh aktiviti pembalakan, pertanian dan juga pembinaan. Kawasan yang mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk terkena hakisan dan tanah runtuh ialah di kawasan tanah tinggi. Kejadian tanah runtuh amat berbahaya kerana boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan juga harta benda. Oleh itu, adalah kurang selamat bagi manusia membina rumah kediaman berhampiran dengan tanah tinggi.
      Sumber air juga adalah sangat penting kepada kehidupan harian manusia. Manusia memerlukan air sebagai sumber minuman dan juga sumber protien. Sumber air yang tercemar menyebabkan air tersebut beracun dan tidak selamat diminum. Lebih malang lagi manusia kehilangan sumber protien kerana hidupan air seperti ikan akan mati. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh aktiviti pembuangan sisa kumbahan, sisa toksik dan minyak kenderaan ke dalam parit, sungai atau laut.
      Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk memastikan keadaan pencemaran alam sekitar berada pada tahap yang minimum. Adalah malang jika kita menunggu sehingga keadaan menjadi parah ibarat telur di hujung tanduk baru kita hendak berusaha mengawalnya. Keadaan menjadi tidak berguna sekiranya nasi telah menjadi bubur.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Contoh Karangan  3:  Karangan Lengkap

Punca-punca Pencemaran Udara




Pencemaran udara merupakan perbuatan mengotorkan kebersihan udara sehingga menyebabkan kualitinya merosot (T).  Indeks Pencemaran Udara Malaysia (IPUM) telah menunjukkan bahawa kualiti udara di negeri Selangor pada tahun 2000 bukan sahaja berada pada tahap tidak sihat tetapi juga sangat tidak sihat sepanjang tahun tersebut (I).  Justeru, punca-punca pencemaran udara ini harus dikenal pasti bagi memudahkan kita untuk menanganinya agar tidak berleluasa (K).


      Salah satu punca yang menyebabkan udara tercemar ialah bencana alam (AT).  Bencana alam merupakan fenomena semulajadi yang mengakibatkan kemusnahan alam seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan akibat kemarau yang berpanjangan (AH1).  Contohnya, letusan Gunung Berapi Pinatubo, Filifina telah membebaskan debu yang berlebihan ke angkasa sehingga menyebabkan jerebu yang sangat teruk di negara-negara yang berhampiran (AH2).  Dengan itu, bencana alam juga merupakan faktor penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di negara kita (AP).
     
      Pelepasan asap kenderaan juga banyak menyumbang kepada pencemaran udara ini (AT).  Pertambahan kenderaan yang bergerak di jalan raya telah menyebabkan asap yang dilepaskan ke udara melalui ekzos kereta juga turut bertambah (AH1).  Sekiranya kenderaan yang digunakan tidak diselenggara dengan baik, kenderaan tersebut akan mengeluarkan asap yang berlebihan (AH2).  Justeru, asap yang mengandungi gas-gas beracun seperti karbon monoksida telah mencemarkan kebersihan udara keseluruhannya (AP)


      Selain itu, udara juga tercemar kerana aktiviti penerokaan hutan yang dilakukan oleh penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman (AT).  Lazimnya, penduduk yang tinggal di kawasan ini meneroka hutan untuk tujuan petempatan dan pertanian (AH1).  Mereka menebang hutan kemudian membakarnya untuk mempercepat urusan pembersihan di samping menyuburkan tanah tersebut untuk bercucuk tanam (AH2).  Oleh hal yang demikian, aktiviti pembakaran hutan yang dilakukan dengan tidak terkawal akhirnya akan mencemarkan udara di kawasan yang berhampiran (AP).


      Faktor seterusnya ialah pembakaran sampah secara besar-besaran di kawasan terbuka (AT).  Sampah-sarap yang dibuang oleh masyarakat di negara ini sangat banyak sehingga berjuta-juta tan sehari apabila dikumpulkan di loji pelupusan sampah (AH1).  Sampah ini terpaksa dilupuskan menerusi aktiviti pembakaran pada setiap hari bagi mengelakkannya daripada bertambah banyak (AH2).  Justeru, udara akan semakin tercemar kerana tidak ada alternatif lain untuk melupuskan sampah-sarap yang bertimbun selain membakarnya (AP).
    
      Tuntasnya, kemerosotan kualiti udara di negara kita sebenarnya di sebabkan oleh kealpaan masyarakat di negara ini dalam mengejar arus pemodenan (R).  Semua pihak haruslah berganding bahu bagi menyelesaikan permasalahan ini agar kesan buruk tidak berlaku (C).  “Sebelum nasi menjadi bubur”, langkah-langkah pencegahan perlulah diambil dengan segera kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” (H).


Nota Penerangan.
1. Perenggan Pendahuluan (Teknik TIK)
T = Tema
I = Isu yang berkaitan dengan tema
K = Kehendak soalan ( menyatakan tugasan yang akan dibincangkan dalam karangan)


2. Perenggan Isi


AT = Ayat Topik (Ayat ini berperanan untuk menyatakan isi jawapan)
AH1 = Ayat Huraian Pertama (berperanan untuk menghuraikan AT)
AH2 = Ayat Huraian Kedua (berperanan untuk menjelaskan lebih lanjut dengan mengemukakan contoh, kesan, statistik, atau pendapat yang berkaitan dengan AT)
AP = Ayat Penyimpul (berperanan untuk menegaskan semula AT tetapi dalam bentuk pernyataan yang lain)


*AH boleh ditambah sekiranya perlu penambahan dalam bahagian huraian. Oleh itu, akan muncul AH3, AH4 dan seterusnya tetapi pastikan jumlah ayat adalah seimbang bagi seluruh perenggan isi.


3.  Perenggan Penutup
R = Rumusan secara keseluruhan perbincangan
C = Cadangan terhadap isu
H = Harapan (kesan daripada cadangan)